Permainan? on Friday, July 23, 2010 , 8:14 AM
"Hanya mereka yang melepasi ujian akan melalui kehidupan dengan sabar."


congkak. by ~tambourinexgirl on deviantART


Pada hari ini, saya akan berkongsi tentang sebuah permainan yang begitu sinonim dengan budaya Melayu kita.
Tentu sekali setiap anak Melayu mengenali perkataan, congkak, ini.

Baca terus untuk mengetahui lebih tentang apa sebenarnya congkak.

Congkak ialah sejenis permainan tradisional yang dibuat daripada kayu berukuran 80 sentimeter panjang, dan 18 sentimeter lebar.
Terdapat juga papan congkak yang berukir indah. Ini bermaksud, papan kayu ini diukir dengan ukiran-ukiran yang bertujuan untuk menghiasi papan tersebut.
Dalam permainan ini, ianya memerlukan dua orang pemain.
Para remaja pada zaman silam amat suka akan permainan ini, terutama sekali anak-anak gadis.

Papan congkak mempunyai 14 lubang yang dipanggil "kampung".
Tidak lupa juga, terdapat dua lubang besar di setiap hujungnya yang dipanggil "rumah".

KLIK DI SINI!! Untuk cara-cara bermain congkak.

Saya suka congkak. Anda bagaimana pula?

Wasalam.

Labels:


Benang Gelas on Wednesday, July 21, 2010 , 7:52 AM
"Sekalipun tidak pernah menjadi kaya-raya, kita masih beruntung tidak juga papa kedana"


kites. by ~seba5tian on deviantART

Salam semuanya! Apa khabar ya?
Maaf kerana tidak mengemaskinikan blog ini sekian lama.
Maklumlah, sibuk dengan pekerjaan sekolah.
Hari ini, saya akan menyentuh mengenai permainan tradisional yang bersangkut paut dengan budaya Melayu.
Saya telah meminjam buku dari Perpustakaan Woodlands baru-baru ini yang bertajuk Sanggan Budaya, hasil susunan Encik Aliman Hassan.
Seperti tajuknya, buku ini mengandungi pelbagai nota dan informasi mengenai budaya Melayu ini.

Pembaca, tahukah anda tentang 'Benang Gelas'? Pelik bukan bunyinya?
Bagi yang kurang tahu, 'Benang Gelas' sebenarnya adalah hanya benang yang digunakan untuk bermain layang-layang.
Namun begitu, keunikan benang ialah, benang ini terlebih dahulunya telah disapu atau diselaputi serbuk kaca yang telah ditumbuk halus.
Kaca yang telah menjadi serbuk itu kemudiannya akan dicampurkan dengan 'Air Kak'.
'Air Kak' ini adalah sejenis cecair pelekat atau lebih dikenali sebagai gam.
Benang ini digunakan dalam pertandingan layang-layan di udara.
Benang yang tajam ini akan dapat memutuskan benang layang-layang yang lain lalu menghanyutkannya.
Kaca yang sering digunakan atau menjadi pilihan utama ialah kaca bol lampu.
Ini menjadi pilihan kerana kacanya tipis dan mudah dihancurkan untuk menjadi serbuk.
Setelah ditumbuk, kaca tersebut akan diayak dan dimasukkan ke dalam tin dan kemudiannya direbus dengan kepingan 'Air Kak' hingga cair dan sebati.
Setelah disejukkan, dimasukkan sebuku benang yang akan dikacau hingga sebati. Benang yang telah direndam dalam 'Air Kak' yang bercampur dengan serbuk kaca itu direntangkan antara dua tiang dan dijemur hingga kering.

Cerdik bukan rekaan ini? Namun, kini, benang-benang ini tidak dibenarkan dalam pertandingan umum kerana ianya tidak selamat dan tidak adil.
Kalau tidak, musnahlah semua layang-layang yang lain!
Saya tidak sangka, benang yang tidak seberapa itu dapat dijadikan seperti senjata untuk menang.
Kini, anda semua telah tahu akan benang ini.
Kongsilah pengetahuan baharu ini dengan ahli keluarga anda semua ya!
Salam sayang, sekian.

Labels:


Akankah ianya hilang? on Tuesday, July 6, 2010 , 10:02 PM
"Kekurangan orang lain adalah ladang pahala bagi kita untuk memaafkannya, mendoakannya, memperbaikinya, dan menjaga aibnya."



Seperti lagu ini, sepasang baju kurung biru menjadi temannya pada Hari Raya.
Adakah kita akan menghargai busana tradisional seperti ini di masa hadapan? Hmm..


Sepanjang minggu saya telah memikirkan tentang pakaian tradisional Melayu yang ada kini.
Sesungguhnya, busana-busana ini sememangnya indah-indah belaka.
Ia mencerminkan keanggunan dan kesucian seseorang itu, terutama sekali, kaum wanita.
Corak kain yang digunakan pula berwarna-warni. Ini dapat menceriakan si pemakai.

Ada diantara busana-busana yang ada menunjukkan bentuk badan.
Mungkin ada yang kurang senang dengan perkara ini.
Ada juga yang lebih suka dengan potongan sebegitu.
Walau bagaimanapun, busana-busana ini semua tetap menutup aurat si pemakai.
Memang dari dulunya, budaya Melayu mementingkan peradaban yang sopan dan tidak menjolok mata.
Ini semua untuk mengekalkan kesucian yang ada pada seseorang itu supaya tidak ada yang bersangka buruk,
Sesuatu yang tidak dipraktikkan orang-orang Melayu, sejak dahulu lagi.

Orang-orang Melayu pada zaman lampau memakai baju kurung dan kebaya sebagai pakaian harian mereka.
Namun, kerana peredaran masa dan unsur-unsur lain, orang-orang Melayu terutamanya di Singapura tidak lagi memakai pakaian tradisional ini lagi sebagai pakaian harian mereka. Malahan, mereka hanya mengenakan kemeja-T dengan seluar panjang lazimnya. Mereka hanya memakai baju kurung, contohnya, hanya untuk majlis-majlis tertentu.
Seperti majlis perkahwinan dan juga Hari Raya Aidilfitri dan sebagainya.
Orang-orang Melayu di Malaysia masih ada yang memakai baju kurung dalam kehidupan seharian mereka.
Mungkinkah, dalam beberapa puluh tahun yang akan datang, orang-orang Melayu tidak akan lagi memakai pakaian tradisional?
Bulu roma saya tegak berdiri memikirkan tentang perkara ini.
Ia sesuatu yang membimbangkan.

Mengapa ya kini, ramai orang Melayu, terutama sekali anak muda tidak suka mengenakan pakaian-pakaian sebegini?
Antara alasan yang diberikan adalah, pakaian ini kebanyakannya panas dan kurang selesa.
Ada juga yang mengatakan bahawa, mereka berasa ganjil mengenakan pakaian-pakaian ini kerana masa telah berubah. Orang tidak lagi memakai pakaian ini semua. itu sebablah ianya digelar, pakaian tradisional.
Kalau pakaian-pakaian ini dijaga dan dihargai sampai bila-bila bagus. Tetapi, jikalau, ianya hilang,
ataupun tidak lagi dipakai pada masa-masa yang akan datang, bagaimana ya?
Akankah Melayu hilang dari segi itu? Mari kita renungkan ~

Bahasa Kita. Gunakanlah ~

Labels:


Baju Tradisional Melayu on Thursday, July 1, 2010 , 5:53 AM
"Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat" - Khalifah Abdul Malik bin Marwan.


Salam sejahtera semuanya. Saya harap anda sihat-sihat hendaknya. Sebutkan sahaja frasa, budaya Melayu, dan selalunya, gambaran yang ada di minda adalah pakaian tradisional Melayu. Mungkin ramai kini lebih peka tentang jenis-jenis pakaian tradisional ada. Bagi yang kurang tahu, pakaian tradisional Melayu umumnya mempunyai pelbagai jenis. Kaum adam dan hawa tidak mempunyai jenis pakaian yang sama. Inilah yang menarik pada saya. Kita mempunyai pilihan untuk mengenakan jenis pakaian untuk ke apa jua acara. Penyelidikan saya telah membuahkan hasil apabila saya telah ke,
http://ms.wikipedia.org/wiki/Perbincangan:Baju_tradisional_Melayu.

Di sini, ada beberapa jenis pakaian tradisional yang popular.


  • Baju Kurung Teluk Belanga.
Dari segi sejarahnya, baju ini mula dipakai pada zaman pemerintahan Sultan Johor, iaitu Almarhum Sultan Abu Bakar yang bersemayam(bertempat) di Teluk Belanga, Singapura pada sekitar tahun 1800-an. Justeru itulah ia dipanggil Baju Kurung Teluk Belanga dan ia juga merupakan pakaian kebangsaan orang Melayu Johor. Sejak itu pemakaian baju ini telah berkembang ke negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Baju kurung merupakan pakaian kebangsaan rakyat Malaysia dan banyak dipakai dalam majlis-majlis rasmi.

Baju Kurung Teluk Belanga adalah labuh, dan potongannya longgar kerana dirusuknya berpesak dan di bawah lengannya pula diletakkan kekek. Potongan lehernya bulat dan berbelah di depan. Pada sekeliling tebukan lubang leher itu, jahitan tulang belut digunakan bagi mengemas dan memperkukuhkan lagi leher baju tersebut. Baju kurung teluk belanga yang dipakai oleh kaum lelaki dan wanita pada dasarnya adalah sama.


Sumber; http://malaysiana.pnm.my/02/02010104mel_kurungtlkblanga.htm


(http://senirupasiti.blogspot.com/2010/04/ciri-ciri-kain-kain-untuk-busana.html)
  • Baju Kurung Cekak Musang.
Baju kurung cekak musang adalah sama dengan baju kurung Teluk Belanga kecuali pada bahagian lehernya. Leher baju kurung cekak musang ada kolar. Kolar tersebut hanya selebar satu jari dan kedudukannya menegak. Pada bahagian hadapan kolar ada bukaan panjang yang berkancing(bersangkut/berbutang). Biasanya ada satu kancing pada kolar dan dua atau tiga lagi kancing pada bukaannya. Butang emas atau emas berbatu permata digunakan sebagai pengancingnya.

Kancing yang paling terkenal ialah kancing emas yang dipanggil garam sebuku dan kancing berbatu permata yang dikenali sebagai kunang-kunang sekebun.
Baju kurung cekak musang wanita boleh dipakai dengan seluar atau kain sarung. Seluar yang selalu digunakan ialah kain seluar panjang, seluar panjang dan seluar bambu. Jika mahu, samping dan selendang juga boleh dipakai bersama. Baju kurung cekak musang lelaki pula dipakai dengan seluar dan bersamping. Lebih segak lagi apabila bertanjak atau bersongkok.

Sumber; http://malaysiana.pnm.my/02/02010102mel_kurungcekmusang.htm

Ini adalah antara baju kurung yang amat popular dalam golongan masyarakat Melayu serantau. Sebagai seorang individu, saya lebih suka akan baju kurung songket.


(http://www.pekanrabu.biz/produk-semua-pun-ada-5-item-keatas-f8/d-qistina-collection-purse-clearance-coach-rm10-only-last-page-t107.htm)
  • Baju Kurung Songket.
Songket merupakan sejenis kain yang biasanya ditenun tangan, dan mempunyai corak rumit benang emas atau perak. Perkataan songket bermaksud membawa keluar atau menarik benang daripada kain atau menenun menggunakan benang emas dan perak. Dari segi sejarah, ia hanya dipakai golongan bangsawan - keluarga kerabat diraja dan orang besar negeri. Kehalusan tenunan dan kerumitan motif corak songket ketika itu menggambarkan pangkat dan kedudukan tinggi seseorang pembesar. Ia telah terkenal di Malaysia dan Indonesia sejak abad ke-13 yang lampau. Songket punya nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung. Selain mengangkat martabat si pemakai, motif dan warna tenunan songket melambangkan kedudukan seseorang.

Hari ini, pemakainya lebih menyeluruh, tidak terhad kepada kerabat diraja. Cara pemakaiannya juga lebih meluas, bersesuaian dengan majlis begitu juga corak dan motifnya yang semakin kontemporari, sesuai dengan perubahan dan peredaran masa. Suasana yang melatari songket kini turut berubah selaras dengan peredaran masa.

Kini, usaha untuk memastikan kesinambungan(persambungan) industri songket masih berterusan dan secara relatifnya berjaya mencapai tahap yang memuaskan sehingga songket semakin popular digunakan sebagai busana majlis perkahwinan, hantaran perkahwinan, cenderahati dan hiasan dinding.

Peningkatan kos penghasilan sutera, benang emas dan perak serta perubahan fesyen dan trend sedikit sebanyak mempengaruhi industri songket seawal pertengahan abad ke-20.

Sumber; http://ms.wikipedia.org/wiki/Songket

Tahukah anda, baju kurung songket lebih anggun apabila dikenakan dengan kerongsang sebagai pengancingnya?

(http://www.pekanrabu.biz/produk-semua-pun-ada-5-item-keatas-f8/d-qistina-collection-purse-clearance-coach-rm10-only-last-page-t107.htm)

  • Kerongsang

Kancing baju atau lebih dikenali dengan panggilan kerongsang yang digunakan semasa memakai baju kebaya labuh atau kebaya pendek sudah terkenal di kalangan orang Melayu, Portugis, Nyonya peranakan dan juga kaum Ceti di Melaka sejak berkurun-kurun yang lalu.

Beberapa biji kerongsang dipakai untuk mencantumkan baju mereka supaya tidak terdedah. Kerongsang ini dipakai dalam bentuk set tiga biji yang seragam bentuknya atau berlainan tetapi yang seragam motifnya iaitu dua biji bulat sama besar dan satu lagi kerongsang ibu yang berbentuk hati yang disematkan di bahagian atas sekali.

Sumber; http://malaysiana.pnm.my/02/02010205mel_kerongsang.htm


Labels:


Pertama. on Saturday, June 26, 2010 , 7:29 AM

Green Baju Kurung by ~missphenomena on deviantART

Salam sejahtera.
Nama saya Siti Aisyah Bte Mohd Kamal.
Sempena Bulan Bahasa 2010 yang sedang berlangsung ini, saya akan memulakan perjalanan saya untuk berkongsi bersama anda semua tentang budaya Melayu.
Pada pendapat saya, budaya Melayu ini bukan sahaja tentang tarian dan tata tertib yang sopan.
Budaya Melayu ini mempunyai isi yang cukup luas.
Apa-apa sahaja yang akan saya kongsikan di blog saya ini adalah hasil penyelidikan saya.
Maafkan saya jikalau ada yang kurang.
Mari sama-sama kita melestarikan budaya yang indah ini yang telah diturunkan dari nenek moyang kita.
Sekian, terima kasih.

Labels:



EMEL




Seorang remaja yang amat berminat dengan bahasa Melayu dan budayanya.
Dia ingin mengekalkan keindahan dan kesuciannya.
Nama saya, Siti Aisyah. Saya berumur 16 tahun. Saya bersekolah di Sekolah Menengah Marsiling.
Blog ini dimulakan sempena, Bulan Bahasa 2010.
Ada apa-apa soalan? Emel sahaja saya. :)
Bahasa Kita, Gunakanlah ~

Ada soalan? Tanya di sini. :)





Layout: 16thday x


Perkataan-perkataan baharu:
Bersemayam - Bertempat.
Kesinambungan - Persambungan.
Berkancing - Bersangkut / Berbutang.